Followers

Baca sini! Baca sini!

Sunday, 21 April 2013

Cerita Yang Sungguh Sedih

"Kau ni tak habis-habis menyusahkan hidup aku! Kalau bukan sebab pesan arwah mak, dah lama aku halau kau tau tak! Merempat la kau dekat tepi jalan tu, biar lekang dek hujan lapuk dek panas!"

Aku tunduk sayu, mendengar setiap apa yang dikatakan oleh Berahim. Tidak sedikit pun terdetik dalam hati aku untuk melawan mahupun marah terhadap Berahim. Aku hanya ada dia, dia yang jaga aku selama ini. Setiap apa yang dia cakap dan buat kepada aku, aku terima sahaja dan diam seribu bahasa.

Cuma kadang-kadang aku rasa sedikit hairan juga. Setiap apa yang berlaku pasti Berahim salahkan aku. Ada sekali ketika Berahim menonton drama Korea, heroinnya mati dan Berahim mengamuk, tubuhku dihentam semahu-mahunya. Aku seperti biasa, tidak melawan mahupun rasa marah. Kebiasaannya aku akan tertidur dengan tubuh yang terasa seperti hendak berkecai dan linangan airmata serta berdoa supaya satu hari nanti akan ada sinar buat aku.

Pagi itu, aku duduk di tepi tangga. Aku melihat ke arah jalanraya, kelihatan sekumpulan budak-budak berjalan sambil menyanyi menuju ke sekolah. Aku tersenyum, dalam fikiranku mula memikirkan apa yang ada di sekolah dan bagaimana rasanya pergi ke sekolah. 

"Kau tak payah sekolah, kau tu bodoh! Huruf A dengan beruk pun kau tak kenal!"

Aku toleh ke arah Berahim, dia juga melihat ke arahku. Sambil dia memakai kasut getah warna hitam jenis high-cut, kepala aku ditamparnya. Aku terus lari dan menyorok di belakang tangga.

"Kau tengok aku macam gitu lagi sekali, aku pulas-pulas kepala kau sampai putus!"

Aku mengangguk laju bila melihat jari telunjuk Berahim yang tepat menuding ke arah mukaku waktu itu.

Setelah kelibat Berahim hilang dari pandanganku, aku ambil keputusan untuk pergi bersiar-siar, berjalan keliling kampung. Itu sahaja waktu yang aku ada untuk release tention, waktu-waktu lain aku hanya duduk di rumah. Menghadap Berahim yang langsung tidak pernah kool. Aku juga berdoa semoga di dalam perjalanan nanti terjumpa lagi makwe yang aku tengok beberapa pagi yang lepas.

Makwe yang buat aku rasa tak keruan dan buatkan jantungku berdetak laju seperti genderang mau perang. Makwe yang buatkan aku terbayang akan anak-anak kecil yang seiras mukaku dan muka dia berlari riang di halaman rumah. 

Lamunanku terhenti, bayangan makwe dan bayangan anak-anak berlari di halaman rumah juga lenyap. Yang berada tidak jauh di depanku adalah Berahim. Aku lekas-lekas berlari dan bersembunyi dalam semak-samun. Mampus aku kalau Berahim nampak aku nanti. Aku mengintai dari celah-celah semak-samun, 

"Kau jangan main-main Berahim. Semua orang kampung tahu dia tu amanat arwah mak kau." Seorang lelaki tua, menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Iya Pak Akob, aku pun tahu juga. Tapi, ekonomi aku pun tak stabil ni, nak jaga dia lagi. Menyusahkan aku aje. Pak Akob je la jaga dia."

Aku terkedu. Berahim nak bagi aku dekat orang lain? Walaupun Berahim benci sungguh dengan aku, tapi aku sayang dia. Aku ada dia je dalam dunia ni. Airmataku mengalir deras.

__________

Aku berjalan pulang ke rumah. Biarpun sudah lewat tengahari. Berahim pasti sudah pulang dari menoreh getah dan pasti juga dia akan menghentam tubuhku nanti bila dia sedar aku tidak ada di rumah. Ahh--aku tak peduli lagi, tidak ada rasa sakit dalam dunia ini yang sama dengan rasa sakitnya bila aku tahu Berahim nak bagi aku dekat orang lain.

Setibanya aku di depan simpang rumah, aku lihat Berahim berdiri bercekak pinggang dan tangannya memegang ranting kayu yang agak besar dan panjang. Lelaki tua yang berbual dengan Berahim pagi tadi juga ada bersama-sama. Aku terus berjalan menuju ke tangga.

"Dah besar ni, Berahim. Nanti dia lari balik sini semula macam mana?" 

"Dia balik sini, mampus dia aku bedal nanti." kata Berahim dengan tegas.

"Okey la kalau macam gitu, jangan pulak esok lusa kau mintak semula dia." Lelaki tua itu menghulurkan beberapa keping not RM100.

"Takde la, menyampah saya jaga dia. Orang kampung pun dah gelar saya Berahim Kambing, celaka betul!" Berahim merungut dan mencapai not kertas yang dihulurkan.

Aku hanya memandang sayu ke arah Berahim dan menurut langkah Pak Akob. Selamat Tinggal Berahim, halalkan rumput dan garam yang aku makan selama ini. Airmata aku menitis lagi.