Followers

Baca sini! Baca sini!

Friday, 16 September 2011

Lemang Malam Raya

Dah 3 minggu umat islam menyambut hari raya, sedikit terlambat gua post entri ni. Gua nak cerita ni, raya sekarang ni dah jadi musim orang kahwin agaknya. Kakak gua kahwin, adik perempuan gua la bertunang. Ada juga gua tanya dengan mak gua, adik gua bertunang dulu ni dah dikira langkah bendul dah ni, patutnya gua dapat hadiah la? Setelah diterangkan, baru gua tau, lelaki takde istilah langkah bendul. Macam bendul juga gua rasa masa mak gua terangkan tu.

Okay-okay, bukan pasal tu gua nak cerita. Tapi, pasal gua sambut raya dan kena jaga lemang. Benda paling bosan dalam dunia selepas jaga hati makwe. Masa dengar pengumuman raya, gua paling excited, mana taknya gua puasa penuh tahun ni. Kahkahkah! Tengah-tengah gua hepi besok nak raya, abah gua panggil, dia pegang buluh. Gua lagi la hepi, lama betul tak main meriam buluh ni.
"Kabaid dah beli ke bah? Kurang-kurang sekilo setengah juga ni, baru puas hati."
"Tengkorak kamu, ni buluh lemang, pergi basuh, lepas tu hidupkan api, mak kamu dah standby tu." Jawab abah gua.
Gua pun turuti la kemahuan abah gua, tak berani gua nak membantah, lagi-lagi bila ingat balik yang gua kena ikat dekat pokok manggis sebab pergi mandi sungai masa Darjah 6 dulu. Abah gua bukan jenis yang boleh dibawa berbincang. Gua dah cakap tak sengaja jatuh dalam sungai, lepas dah basah tu gua mandi la dengan kawan-kawan. Dia tak percaya.
Dah selesai basuh buluh, gua pun hidupkan api. Setelah itu bermula la episod paling bosan dalam hidup gua, mesej kawan-kawan gua dah beratur dah masuk, ajak lepak la, main wheelie la, lumba haram secara berkelompok la. Gua panas je masa baca. Korang apa tau jaga api lemang pun malas, tau makan lemang je, lemang segera pulak tu. Dah 10 minit jaga api lemang, gua dah boring sangat-sangat dah, gua usya je abah gua. Dia relaks je.
"Masak lemang segera je la bah, takde la nak buang masa tunggu lama-lama macam ni, habis sia-sia usia remaja orang kena tunggu api lemang ni, malam raya orang nak hepi-hepi, jaga api lemang ni mana datang hepinya?"
Abah gua tetap relaks. Sebab gua marah dalam hati je. Gila nak marah betul-betul, tak baca dekat atas tu gua kena ikat dekat pokok? Perasaan boring mengalir laju di setiap urat dan pembuluh darah gua, dekat 40 kali dah gua menyanyi lagu Airmata Syawal, takde juga rasa sedih tu. Tetap rasa boring juga. Boleh muntah kalau rasa boring lama-lama ni. Tengah gua boring tu, Abah gua cakap suruh tangkap Arnab, boleh juga panggang sambil tunggu lemang. Panggang Ayam dah boring dia cakap.
Gua pun operasi la tangkap Arnab, dah malam ni senang sikit, Arnab duduk dalam reban dah. Dah siap sembelih tu, gua bersihkan. Dua ekor juga Arnab kena sembelih, tak sempat dia nak raya dah kena makan. Dah setel basuh gua pun lumurkan dengan garam dan kunyit, Arnab tu potong dua je. Jadi, ada empat bahagian semuanya, tiga bahagian gua lumurkan dengan garam dan kunyit, satu bahagian lagi gua lumurkan dengan rempah kari, bahagian gua, baru ada rasa spicy sikit.
Lebih kurang sejam setengah. Arnab pun masak, yang lain gua hantar dalam rumah, bahagian gua, gua makan sorang-sorang. Sedap juga daging Arnab ni rupa-rupanya, sama rasa dia macam sate Arnab tu. Setel makan Arnab, gua hisap rokok sorok-sorok, sambil menunggu lemang yang dalam fasa terakhir untuk masak. Setelah itu, lemang pun masak, gua pun angkat letak dekat dapur dan gua pergi mandi. Dan masuk tidur, lain macam sikit gua rasa malam tu. Tidur pun tak berapa lena.
Pagi esoknya gua bangun, gua bangun sendiri je. Mak gua tak kejut pun, biasa gua cukup payah nak bangun pagi ni, tapi mungkin sebab semangat nak raya, mungkin juga sebab...,
"Eh, kenapa tak pakai baju raya ni? Cepat la nak pergi masjid lak ni." Tegur abah gua.
Pagi raya, gua pakai singlet dengan towel je. Apa taknya, dari malam sakit perut, ulang-alik pergi toilet, Arnab rempah kari punya pasal. Tak raya gua hari tu, kawan-kawan nak datang pun gua tak bagi.

2 comments:

  1. Tak tahu lah kat tempat lain macam mana, tapi suasana raya kat tempat gua tahun ni tenggelam habis dengan majlis-majlis kahwin. Start raya ke-2 je dah berlambak majlis kahwin. Peh.

    ReplyDelete
  2. tahun depan tlg bakar lemang kat rumah sye pulak ye..ngeee.. :)

    ReplyDelete